Headlines News :
Home » » Wahai lebai tidak bertakwa, wajibkah saya berpuasa?

Wahai lebai tidak bertakwa, wajibkah saya berpuasa?

Written By Voice Rakyat on Ahad, 11 Jun 2017 | 12:28 PTG

Oleh Azmil Amri

RAMADAN masuk separuh masa pertama. Purnama di langit malam menjadi saksi amal soleh umat Islam tahun ini, dalam usaha besar untuk mencari keredaan Tuhan. Ramadan mengajarkan umat Islam tentang peri pentingnya sifat takwa; sesuai dengan dalil Al-Quran pada ayat 183 surah Al-Baqarah.

Pun begitu, hari demi hari kita melihat bagaimana umat Islam khususnya di Malaysia tidak menemukan takwa, meski seharian menahan lapar dan dahaga, selain menjaga deria daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Takwa diperjelaskan oleh Ubay bin Ka’ab ketika ditanya oleh Umar Al-Khattab tentangnya dengan begitu cemerlang sekali. Ubay bertanya kepada Umar, “Adakah kamu pernah melalui jalan yang penuh duri?”

Umar menjawab ya, lalu Ubay bertanya kembali, “Bagaimana kamu melalui jalan yang penuh duri itu?”

Umar menjawab, “Dengan penuh berhati-hati, supaya tidak terpijak duri.”

Ramadan memang bertujuan mendidik umat Islam supaya berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang boleh mencacatkan ibadah puasanya.

Sifat takwa yang dididik melalui "madrasah" Ramadan bukanlah supaya kita takut kepada Tuhan kerana adanya neraka, tetapi kerana rasa "bertuhan". Ramadan mendidik menyemai rasa berhati-hati dalam perjalanan penuh ranjau menuju apa pun juga tujuan kita dalam beragama; merasa cukup dengan apa yang ada, dan lebih penting lagi, menyemai rasa kasih sesama manusia.

Kerana meski takwa itu sifat yang berkait langsung dengan Tuhan, sifat takwa seharusnya wajar diterjemahkan kepada kehidupan sehari-hari dalam hubungan sesama manusia. Menjauhi tabiat mengumpat, mendidik sabar, menahan nafsu amarah dan sebagainya adalah perlakuan yang memberi kesan langsung kepada lingkungan teman dan sanak saudara.

Ramadan dan puasa adalah pendidikan sosial yang mengajarkan erti berlapar, tidak terlunas hajatnya, serta erti hidup saling berbudi kepada sesama makhluk.

Ramadan bukan sekadar peluang untuk berbuat baik kepada mereka yang lebih memerlukan, menganjurkan majlis makan-makan dan bantu-membantu untuk satu tempoh singkat saja. Ia bahkan penting dalam mendidik empati masyarakat terhadap lingkungan yang lebih besar.

Malang bagi kita, Ramadan di Malaysia saban tahun dihujani hal mengarut yang tersasar daripada makna dan tujuan sebenar ia menjadi bulan ibadah dan mendidik jiwa.

Ramadan tahun ini disambut dengan acara lempang-melempang, maki-hamun dan kegilaan membeli tudung mahal. Bukan saja itu, ia menjadi pesta untuk bertanding siapa lebih Islam, siapa lebih beriman dan siapa lebih hebat bertuhan.

Melebih-lebih dalam beragama

Tidak ada langsung dipamerkan sifat takwa dan qana’ah (merasa cukup dengan apa yang ada) apatah lagi wasatiyah. Sebaliknya giat ditayang sikap tatharruf (berlebih-lebihan) dalam setiap satu gerak geri sepanjang menjalani ibadah puasa, hatta ketika membeli juadah berbuka, malah ketika berebut mahu ke masjid untuk solat tarawih.

Di luar negara pula, kita digemparkan dengan serangan di beberapa tempat atas nama Tuhan dan agama. Banyak nyawa yang tidak bersalah menjadi korban amarah golongan yang mahu berebut syurga dengan wasilah politik dan daulah. Taqwanya entah hilang celah mana.

Umat Islam, baik di Malaysia atau di luar sempadan negara secara dasarnya punya masalah pembelajaran. Atas sebab itu, kita selalu gagal mengambil pelajaran daripada madrasah Ramadan dan menghabiskan usia melakukan perkara sia-sia yang tidah membawa kebaikan kepada diri apatah lagi manusia lain.

Contoh paling gagal ini kita boleh temukan dalam insiden mengarut di depan Masjid Simpang Enam Pulau Pinang, berhadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Komtar.

Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang Mohd Hafiz Noordin dalam perhimpunan kecil selepas solat Jumaat sehari sebelum Ramadan itu dilaporkan berkata sekiranya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu turut serta dalam acara berbuka puasa, beliau perlu masuk Islam.

“Kita nak berpuasa daripada kekufuran. Kita nak baiki diri daripada berketuakan kafir macam DAP ini.

“Kita nak minta Guan Eng berhenti buka puasa. Kalau betul nak buka puasa, masuk Islam. Jangan main-main agama kita,” katanya.

Kita semua tahu ini adalah aksi politik merepek yang cuba dilakukan golongan gagal ini semua untuk membingkai Guan Eng dan pastinya DAP serta sekutunya sepertimana serangan yang dilancarkan tehadap bekas calon gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama oleh gerombolan Aksi Bela Islam di negara jiran.

Basuki, atau nama Hakkanya Ahok, dijatuhkan hukuman dua tahun penjara atas tuduhan menghina Islam. Apa yang terjadi kepada Ahok, seorang pemimpin Cina Indonesia, sedang cuba dilakukan terhadap pimpinan bukan Islam di Malaysia dan Lim adalah sasaran paling mudah.

Dengan melecehkan Lim, membingkainya sebagai seorang yang anti Melayu-Islam, momentum sedang dibina menuju pilihan raya yang bakal menyaksikan sentimen kaum dan agama menjadi peluru utama parti pemerintah dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.

Tahun 2011, pentadbiran Lim juga menjadi sasaran serangan perang agama di bulan Ramadan apabila muncul tuduhan Pulau Pinang melarang laungan azan. Fitnah itu terus dikitar semula, dan kini dikumpul bersama fitnah lain bagi mewarnakan watak utama pimpinan parti pembangkang sebagai syaitan dan musuh umat Islam.

Anda mungkin fikir ini jihad dalam usaha membangun daulah mengikut acuan anda. Hakikatnya, ini semua kerja jahat yang menghalang perubahan dan mengekalkan negara dalam keadaan ditadbir para kleptokrat yang kini anda cuba mendekat untuk dedak sebakul dua.

Lebih mengarut lagi, orang yang menentang tafsiran merepek anda terhadap agama pula habis dikafirkan semuanya.

Maka sekarang pak lebai gila, kami semua mahu tanya: Kalau kami ini semua kafir dari sudut pandang anda, adakah wajib kami berpuasa?

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. Warkah Keramat - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template