Headlines News :
Home » » Kuliah Dan Ceramah Yang Mengundang Kontroversi

Kuliah Dan Ceramah Yang Mengundang Kontroversi

Written By Voice Rakyat on Ahad, 11 Jun 2017 | 3:05 PTG



Oleh HAYAR HASSAN.

Umum berpendapat, salah satu faktor utama sesebuah organisasi politik mampu meraih sokongan rakyat adalah kerana keberadaan tokoh-tokohnya yang berkarisma. Salah satu ciri tokoh-tokoh berkarisma adalah pidato-pidatonya yang memukau dan menarik perhatian semua pendengarnya.

 Di Indonesia, sewaktu perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada Belanda begitu membara, Almarhum Sukarno adalah sosok yang hebat berpidato, menaikkan semangat warga Indonesia untuk bangun melawan penjajah Belanda. Dikatakan Sukarno mampu berdiri memberikan pidato yang penuh bersemangat sampai tiga jam dengan pendengar-pendengarnya tetap berada di tempat duduk masing-masing.

Di Malaysia pula, salah seorang tokoh pemidato yang hebat adalah Almarhum Dato’ Asri Haji Muda(DAHM), mantan Presiden Pas sebelum era reformasi. Kehebatan ceramah DAHM adalah kerana bunga-bunga bahasa dan sasteranya yang indah dan bertepatan dengan isu yang dibicarakannya. Ianya bertambah menarik dengan  suara garaunya yang jelas dan cukup teratur. Cuma sekali sekala sahaja beliau memetik ayat-ayat Al Quran yang berkait dengan topik yang dibicarakan. Tidak ketinggalan beliau sering mengakhiri pidatonya dengan rangkap-rangkap pantun yang menarik dan semua pendengar puas hati mendengarnya. Seusai ucapan beliau, kita merasakan pidatonya itu wajar diteruskan, bukan ditangguhkan !

Seingat saya, selepas era DAHM, pemidato-pemidato Pas yang diminati adalah Almarhum Ustaz Bunyamin, Haji Mohamad Sabu(Abang Mad Sabu), Dato’ Mahfuz Omar, Dato’ Husam Musa dan beberapa orang lagi. Daripada PKR pula, penceramah-penceramah yang diminati adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Azmin Ali dan Dato’ Saifuddin Ismail Nasution . Gandingan penceramah-penceramah di atas mampu memberikan informasi dan ulasan terhadap masalah ekonomi dan derita rakyat semua.

Namun demikian, ceramah Abang Mad  Sabu lah yang ditunggu-tunggu oleh semua orang, walau pun Abang Mad Sabu adalah penceramah terakhir. Orang-orang yang hadir pada ceramah-ceramah Barisan Alternatif(BA)/Pakatan Rakyat(PR) waktu itu bukannya semua penyokong Pas, ada juga orang Umno- BN. Ini adalah kerana mereka inginkan maklumat-maklumat yang seimbang.

Pendengar-pendengar boleh bergelak ketawa apabila mendengar sindiran tajam Abang Mad Sabu berkaitan satu-satu isu. Program Ceramah BA/PR   ketika itu umpama suasana pasar malam. Peniaga-peniaga makanan dan pakaian tetap datang berniaga walau pun lokasi tempat ceramah jauh di kawasan pendalaman . Orang ramai tetap ramai, walau pun ianya di adakan di kebun getah, kebun kelapa sawit atau sawah padi yang sudah dituai. Saya rasa Abang Mad Sabu adalah satu-satunya pemimpin politik yang telah biasa menjejaki setiap kawasan parlimen di Malaysia. Saya masih terkenang akan serangkap pantun Melayu lama yang diungkapkan oleh Abang Mad Sabu setelah beliu gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas sewaktu dulu,

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan,
Intai lah kami antara nampak.
Esok jangan rindu rinduan.

Namun demikian, setelah Pas keluar daripada PR dan menjarakkan diri daripada Pakatan Harapan(PH), program ceramah-ceramah Pas kelihatan sepi dan semacam tidak dipedulikan langsung oleh orang ramai. Banner dan flyer  ceramah Pas amat jarang kelihatan dan sukar ditemui. Sepertinya pada waktu ini, Pas ketandusan pemidato-pemidato hebat yang mampu mengulas isu-isu nasional berkaitan ekonomi dan derita rakyat jelata. Ketika rakyat begitu dahagakan maklumat dan analisa bernas berkaitan GST dan skandal IMDB, tidak ada penceramah-penceramah Pas  yang mampu mengulasnya dengan begitu terperinci.

Sepertinya Pas tidak mempunyai tokoh-tokoh yang mampu memahami dan membahaskan soal-soal ekonomi. Akhbar harakah juga kurang menyentuh isu-isu berkaitan 1MDB dan GST.
Adakah ini disengajakan atau sememangnya Pas ketandusan pakar-pakar ekonomi yang mampu memberikan kefahaman kepada rakyat tentang masalah ekonomi Negara yang begitu kritikal sekarang ini ? Kos sara hidup seharian rakyat dan kadar pengangguran terus  meningkat !

Ceramah-ceramah Pas yang hanya sarat dengan tafsiran ayat-ayat Al Quran yang berlegar kepada kefahaman ustaz-ustaz Pas sahaja bukanlah yang didambakan oleh orang ramai ketika ini ! Dalam dunia digital serba canggih ini  pengetahuan orang ramai terhadap Agama Islam tidaklah begitu rendah. Apa yang diucapkan oleh penceramah-penceramah amat mudah untuk disemak oleh semua pendengar, terutamanya anak-anak muda yang mahir internet  dan media letronik.

Sebenarnya, kebanyakan  daripada ustaz-ustaz dalam Pas sekarang ini, rujukan ilmu agama mereka tidaklah mantap dan boleh dipercayai. Kebanyakan mereka tidak lah begitu hebat bahasa Arabnya. Oleh yang demikian adalah sukar untuk mereka memahami kitab-kitab yang muktabar ! Jarang sekali kita mendengar mereka mampu merujuk kitab tafsir muktabar seperti Tafsir Ibnu Kathir, Shahih Bukhari, Shahih Muslim dan sebagainya. Rujukan mereka adalah sekadar terjemahan Al Quran, kitab-kitab kuning dalam Bahasa Melayu dan buku-buku terjemahan agama  terbitan tempatan .

Kelebihan mereka adalah sekadar petah berbicara dan mampu mengingati ayat-ayat Al Quran dan beberapa hadis yang tidak diketahui statusnya. Kalau mahu dikutip, terlalu banyak kesilapan fakta dalam kuliah atau ceramah mereka. Banyak orang yang tinggi ilmu agamanya sekadar menggelengkan kepala apabila mengikuti kuliah atau ceramah mereka. Cumanya orang ramai malas untuk memberikan teguran. Kalau diberikan komen dan nasihat, pastinya akan dilabel dengan berbagai gelaran !. Apa yang boleh dibuat adalah tidak hadir pada ceramah atau kuliah berikutnya !

Yang menyedihkan, ada segelintir ustaz-ustaz Pas sepertinya amat cetek ilmu tentang hadis. Kerap kali hadis-hadis yang diketengahkan kepada jemaah masjid adalah hadis-hadis  palsu ! Fenomena ini amat cukup merbahaya kepada ustaz tersebut dan orang Islam. Marilah kita berusaha memahami maksud sebuah hadis ,(Riwayat Muslim juz 111 ms 11,Nasaa-I juz 111 ms 188-189 dan Ahmad juz 111, ms 310 & 371 dan Ibnu Majah n0.45), “ Amma ba’du ! Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah (Al Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah Muhammd shallalahu ‘alaihi wa sallam. Dan sejelek-jelek urusan adalah yang baru (muhdats), dan setiap muhdats adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap kesesatan tempatnya di neraka”.

Sesuatu hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW tanpa dalil dan rujukan yang muktabar merupakan pendustaan ke atas baginda. Ia adalah perbuatan yang tidak amanah serta berdosa besar. Mana mungkin kita menyatakan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda, kemudian kita sandarkan pula perkara tersebut kepadanya, sedangkan baginda sendiri tidak melakukan perkara tersebut.

Sepatutnya ustaz-ustaz yang memberi kuliah dan ceramah membuat kajian dahulu terhadap bahan-bahan kuliah atau pun ceramahnya  yang akan disampaikan kepada orang ramai, jangan lah dihidangkan kepada orang ramai hadis-hadis palsu dan kisah-kisah Israiliat sahaja. Kisah-kisah yang ada dalam kitab-kitab kuning bukannya semuanya betul  ! Contohnya, kitab tafsir Nurul Ehsan yang sering kali menjadi teks kuliah ustaz-ustaz Pas di masjid-masjid sebelah utara Semenanjung Malaysia Barat penuh dengan kisah-kisah Israiliat ! Semoga masyarakat Islam yang cintakan agama suci ini tidak mudah terpengaruh dengan semua isi ceramah dan kuliah ustaz-ustaz yang kurang mantap ilmunya itu.

Sekian, Terima Kasih.




Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. Warkah Keramat - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template