Headlines News :
Home » » Aktivis Jufazli sertai DAP untuk ‘selamatkan Sabah’

Aktivis Jufazli sertai DAP untuk ‘selamatkan Sabah’

Written By Voice Rakyat on Selasa, 6 Jun 2017 | 10:28 PG

PETALING JAYA: Seorang aktivis anak muda yang merancang untuk mencabar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di kerusi Sungai Sibuga pada pilihan raya umum ke-14 nanti menyertai DAP sebagai ahli seumur hidup.

Jufazli Shi Ahmad mengumumkan beliau menyertai parti pembangkang itu yang dianggapnya “terbaik dan jujur” membantu negara dan negerinya.

Pemuda 28 tahun itu berkata ibu bapanya dan Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menjadi saksi kemasukannya ke dalam parti itu hari ini, menyifatkan peristiwa itu sebagai “sejarah” dalam perjuangan baharunya untuk Sabah.

“Saya hormati semua parti pembangkang di Sabah dan saya amat hargai semua tawaran menjadi ahli parti pembangkang lain,” katanya dalam kenyataan.

“Tetapi saya perlu memilih parti yang paling terbaik dan jujur selamatkan Sabah dalam Malaysia. Sebab itu, saya memilih DAP.”

Jufazli menambah beliau menunggu hari ini untuk mengambil langkah itu demi rakyat negerinya.
Beliau bersyukur ia dilakukan pada bulan Ramadan, dan berkata beliau sebagai orang Islam berbangga memilih DAP dalam usaha menewaskan Musa dan BN.

Musa, yang juga pengerusi Umno Sabah, memenangi Sungai Sibuga dengan majoriti 11,569 undi dalam pertandingan 5 penjuru pada pilihan raya 2013. Beliau tidak pernah tewas di kerusi itu sejak mula bertanding di situ pada 1999.

Jufazli mengumumkan hasrat bertanding di situ pada Disember tahun lalu.

Jufazli berkata beliau melepaskan tugasnya sebagai seorang pensyarah di universiti swasta untuk menumpukan kepada perjuangan demi Sabah yang lebih baik, dan akan berpangkalan di Sandakan, di mana letaknya DUN itu, sehingga pilihan raya.

Pada 9 November tahun lepas, Jufazli ditangkap di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan disiasat kerana memfitnah, menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia. Beliau ditahan sehingga 15 November.

Jufazli bagaimanapun berkata beliau tidak didakwa walaupun ditahan di balai polis Jinjang, Kuala Lumpur dan Tawau, Sabah.

Pada 26 Mei tahun ini, Jufazli berkata beliau menerima panggilan dari polis mengenai kes terbaharu terhadapnya, di mana beliau dijadualkan bertemu seorang pegawai di Kota Kinabalu Rabu ini.
Aktivis itu, dari Semporna, lantang mengkritik kerajaan Sabah, terutamanya mengenai kes rasuah melibatkan jabatan air negeri.

Seorang bekas pengarah dan 2 lain didakwa mengubah wang membabitkan RM61.48 juta. Kes bermula 4 Julai.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. Warkah Keramat - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template