Malah sepatutnya kibaran Sang Saka Merah Putih dengan sebilah keris di tengah-tengahnya layak diseimbang dan disimbolkan sebagai penyelamat bangsa Melayu. Warna putih tanda kesucian hati; merah membawa erti semangat perjuangan berkobar-kobar; sebilah keris warna hijau di tengah-tengah bendera itu jadi perlambangan pusaka jati diri Melayu. Ia juga layak dianggap sebagai senjata bangsa, perisai penyelamat daripada serang-hendap musuh negara.

Pada usia 71 tahun, jika seorang insan, ia sudah boleh berkira-kira untuk berehat dan bersara daripada jawatan rasmi. Tetapi sebagai parti politik yang berjuang mengekalkan maruah bangsa agama dan tanah air, umur tujuh dekad itu hanya cukup untuk mengorak langkah baru, mencari tapak yang lebih kukuh dan menerokai citarasa bangsa yang lebih menjamin. Dari sudut perhitungan perjuangan, UMNO sudah mengumpul begitu banyak trofi kejayaan. Memerdekakan Tanah Melayu, mewujudkan Persekutuan Malaysia, mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, menjamin kedaulatan Raja-Raja Melayu, menjulangkan hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta hak sahih kaum-kaum lain.

UMNO melahirkan Perlembagaan Persekutuan dan sekian banyak hak serta kuasa pemerintahan yang dikecapi pada hari ini. UMNO mencipta Dasar Eknomi Baru (DEB) ke tahap yang ada pada hari ini sekalipun tahap capaian ekonomi Bumiputera masih ada tanda tanya – di atas atau di bawah 30 peratus berbanding kumpulan aset ekonomi kaum-kaum lain. UMNO memberi hak ilmu pelajaran kepada berjuta orang. Inilah yang mencerminkan keupayaan politik bangsa Melayu yang kini boleh dianggap luar biasa.

Keenam-enam orang Presiden UMNO semenjak merdeka semuanya menjadi Perdana Menteri, sambil jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar dipegang oleh orang Melayu dan akan sentiasa sedemikian selagi UMNO didokong orang Melayu dan Bumiputera. Soalnya, adakah setiap orang Melayu merasakan sentimen kekitaan ini setelah 60 tahun merdeka dan 71 tahun umur UMNO? Melihat kepada persekitaran amalan siasah tanah air pada masa ini, ramai orang Melayu tak begitu terasa betapa pentingnya kuasa itu berada di tangan bangsa sendiri. Penentang UMNO kian lama kian bertambah bilangannya, termasuk daripada orang Melayu sendiri. Siapa yang sering bergelumang dengan rakyat akan menyetujui pandangan ini. Sebahagian penentang ini berasal daripada golongan penerima dividen, jasa dan air tangan UMNO juga. Tetapi masih ingatkah mereka kepada jasa dan budi UMNO? Mahukah mereka terus memperkasakan UMNO?

Semenjak 1971, tahun permulaan DEB, ribuan anak bangsa dilatih dan diberi kemudahan pelajaran serta latihan. Malah ada dalam kalangan musuh UMNO kini yang terdiri daripada peneroka UMNO sendiri. Sekumpulan daripada golongan inilah yang juga bertukar menjadi penentang UMNO kini. 

Sebahagian mereka ini pernah jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar UMNO – kini mereka menentang UMNO dan Barisan Nasional. Mereka berkata, dulu lain sekarang lain. Jika inilah saja penjelasan mereka, jelas bahawa mereka lupa sejarah dan lupa budi sekalipun pada zaman ini budi tidak lagi menjadi isian budaya tinggi.

Ada dalam kalangan mereka berkata mereka bukan menentang UMNO. Mereka hanya menentang pimpinan atasan tertentu. Orang UMNO yang berfikir harus tampil mempersoalkan adakah lantaran marahkan nyamuk maka kelambu dibakar? Mujurlah, UMNO sebagai peneraju kerajaan mempunyai keupayaan bela diri dalaman yang setimpal dan berupaya menangkis rejaman musuhnya.

Pada usia 71 tahun UMNO memang wajib bersiap sedia mendepani cabaran dan pelbagai sengketa.

 Kesan-kesan perjuangan membawa perpecahan lampau mesti dikenali sebab-musababnya. Sejarah Datuk Onn Jaafar meninggalkan UMNO pada 1951 kerana hendak membuka parti itu kepada semua kaum; gara-gara Datuk Harun sebagai Ketua Pemuda hebat yang menggegarkan kerusi Presiden UMNO; perbalahan antara Team A (Dr. Mahathir Mohamad) dan Team B (Tengku Razaleigh Hamzah) serta penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (1989) susulan UMNO diharamkan Mahkamah Tinggi atas kesalahan di bawah seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966 – semua peristiwa ini melemahkan parti buat seketika. Tetapi UMNO bangun balik tegak berjuang atas slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat.

Mujurlah pada zaman awalan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib, syarat-syarat berat untuk mencabar seseorang presiden dan lain-lain dihapuskan. Banyak pengajaran didapati daripada semua peristiwa ini. Pertama, masalah berat dan besar biasa berpunca dari atas, bukan dari bawah. Kedua politik wang makin lama makin menular sehingga seseorang pemegang jawatan tinggi UMNO tak dapat tiada mesti “belanja besar” kalau hendak naik ke atas.

Gambaran ini menular sampai kini. Ketiga, Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang mengandungi peruntukan “keramat” perjuangan parti semakin dilupai termasuk isu bahasa, budaya dan perimbangan kuasa. Keempat, terlalu mudah jadi ahli UMNO sehingga kurang mengerti apa itu perjuangan. Kelima, sokongan rendah generasi muda menerusi asas perjuangan. Jika dilihat di akar umbi kini, keahlian yang dikatakan tiga juta lebih itu kelihatan amat kurang buat kerja parti. 

Sepatutnya kualiti golongan pemimpin diutamakan, bukan sekadar bilangan ahli berjuta. Ada parti pembangkang kini yang keahlian mereka cuma ratusan ribu tetapi barisan pimpinan mereka kental, berwibawa dan berilmu.

Sistem penerangan parti tampak kurang tenaga. Syarat cukup korum di mesyuarat-mesyuarat cawangan baru-baru ini semacam tidak lagi diutamakan menyebabkan parti kelihatan tidak lagi diberi suasana gah. Dengan lain perkataan, pengertian dan penerimaan perjuangan kini amat nipis. 
Pembudayaan perjuangan menurut Perlembagaan UMNO pula kurang dilaksanakan.

Warga lama UMNO melihat ini semua sebagai kelesuan pada usia UMNO 71 tahun, apatah lagi di ambang Pilihan Raya Umum 14. Suasana semarak ialah bila ada perhimpunan agung parti di mana semuanya diberi percuma. Perlu ditanya kembali: dari 11 natijah pesanan presiden tahun lalu, berapa yang diterjemahkan untuk pelaksanaan di bahagian dan cawangan? Daripada 21 isu lontaran pembangkang semenjak dua tahun lalu berapa yang telah dapat dipatahkan?

Dalam kesukaran inilah UMNO mesti bangkit daripada sindrom longlai. DAP, PKR, Pas dan lain-lain akan terus mensasari Presiden UMNO dan pimpinan kerajaan di semua peringkat. MCA, MIC, Gerakan dan komponen BN yang lain juga tampak kurang bergerak. Sementara itu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafei Apdal dan sekutu mereka terus berusaha menumbangkan aur dari tebing perjuangan UMNO, seolah-olah semua prinsip siasah mereka selama ini tidak masuk buku lagi. Ramai yakin mereka sukar mengambil alih kerajaan. Tetapi tindak-tanduk mereka seperti peribahasa lama “kalau tak pecah, sumbing”.

Kita tidak mahu UMNO sumbing dan tak mahu pecah lagi. Tidak baik untuk Melayu dan tidak baik untuk negara. Semoga hari jadi UMNO ke-71 ini mencetuskan gema perjuangan baru untuk kekal berkuasa dan berjuang membela.

Selamat menyambut hari jadi UMNO,
Parti bertuah, parti pusaka Melayu.

PENULIS ialah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan.